Allaudeen Abdul Majid.

KUALA LUMPUR – Empat anggota polis ditahan kerana melakukan pemerasan di hadapan kompleks pangsapuri di Kepong, dekat sini, pada Ahad lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, kegiatan keempat-empat anggota berusia lingkungan 28 hingga 41 itu diketahui selepas pihaknya menerima aduan awam berhubung perkara tersebut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan. Pihak Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Polis Kuala Lumpur turut menjalankan siasatan berhubung keengganan anggota menerima laporan polis daripada orang awam,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Allaudeen berkata, pihaknya memandang serius perbuatan enggan menerima laporan polis dan akan mengambil tindakan tegas kepada mereka yang berbuat demikian.

Katanya, kes berkenaan masih lagi dalam siasatan dan polis tidak melindungi individu termasuk pegawainya sendiri yang melakukan kesalahan di sisi undang-undang.

“Orang awam juga diminta supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan ataupun boleh menimbulkan sebarang kegusaran awam,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast