KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 68 orang warga asing di tujuh lokasi premis pusat urut dan dandan di sekitar Johor Bahru dalam Ops Gegar pada 7 Januari lalu.
Hasil semakan awal mendapati warganegara asing ini menggunakan kemudahan Pas Lawatan Sosial (PLS) dan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang dimiliki untuk bekerja dengan majikan atau syarikat yang lain di negara ini.
Manakala terdapat warganegara asing lain yang tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini.
Ketua Pengarah JIM, Datuk Ruslin Jusoh berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada 14 orang warga Indonesia terdiri daripada 13 orang perempuan dan seorang lelaki, 16 orang perempuan Vietnam, seorang lelaki Filipina, 34 orang Myanmar termasuk 10 orang perempuan serta seorang lelaki warganegara Pakistan.
Kesemuanya berusia antara 19 hingga 42 tahun.
Menurut Ruslin, pasukan operasi telah merampas satu gugus kunci premis, enam pasport Vietnam, 19 helai tuala, tujuh set peralatan mengurut, dua set peralatan perawatan kuku, sebuah telefon pintar jenama Samsung, beberapa buku rekod pelanggan dan wang tunai berjumlah RM844
Premis-premis ini dipercayai telah beroperasi lebih setahun tahun dan mampu menjana pendapatan sebanyak sekitar RM140,000.00 sehari dan boleh mencecah RM4.2 juta sebulan.
Warga asing yang bekerja di premis-premis ini telah dibayar gaji antara RM1,500 hingga RM2,000 sebulan oleh majikan.
Kesemua warganegara asing ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan ditahan di Depot Imigresen Setia Tropika, Johor.
Manakala seorang lelaki temapatan juga ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Sek.56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63.
Seorang wanita Vietnam ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Sek.55B Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 dan Peraturan 39(b), Peraturan-peraturan Imigresen 1963. Sebanyak 13 Notis hadir ke pejabat dikeluarkan kepada individu-individu dalam operasi tersebut bagi membantu siasatan.
Ruslin menegaskan JIM tidak akan berkompromi dengan mana-mana warganegara asing yang menyalahgunakan pas serta kemudahan yang telah diberikan.
Tindakan pendakwaan akan dikenakan terhadap majikan serta pemilik premis yang menggaji warganegara asing tanpa dokumen perjalanan dan pas yang sah.
Jabatan juga menasihatkan kepada majikan supaya mengambil warganegara asing untuk bekerja di negara ini mengikut saluran yang berlandaskan undang-undang.
JIM, tegasnya, akan sentiasa mempergiatkan operasi penguatkuasaan dari masa ke masa dalam membanteras pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara ini. – MalaysiaGazette