KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan seorang pengarah agensi pelancongan untuk bela diri selepas didapati telah mengiklankan perkhidmatan pakej haji furada tanpa lesen pengelola jemaah haji yang sah dua tahun lepas.
Lesen tersebut sepatunya diperoleh Lembaga Tabung Haji (TH).
Hakim Mahkamah Sesyen, Mohd Kafli Che Ali membuat perintah itu selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Agus Rizal Mat Ali pada akhir kes.
Keputusan dibuat selepas Mahkamah mendengar keterangan lapan orang saksi berkaitan kes tersebut.
Dalam pada itu, hakim telah memberikan tiga pilihan iaitu memberi keterangan bersumpah dalam kandang saksi dan boleh disoal balas.
Pilihan kedua memberi keterangan dalam kandang saksi secara tidak bersumpah tanpa disoal balas atau hanya berdiam diri.
Tertuduh telah memilih untuk membela diri dengan memberikan keterangan bersumpah.
Hakim menetapkan tarikh bela diri pada 23 Februari dan 1 Mac depan.
Sebelum ini, tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap dakwaan sebagai pengarah bagi syarikat UC Travel Sdn Bhd bertindak mengiklankan perkhidmatan pakej haji furada bagi musim 2022M/1443H di media sosial Facebook milik syarikat itu dua tahun lepas.
Jika sabit salah boleh dihukum bawah Seksyen 27 (2), hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya. – MalaysiaGazette