Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali

PELABUHAN KLANG – Tiada undang-undang yang boleh menghalang warga asing daripada membeli minyak masak peket bersubsidi di pasaran.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, bagaimanapun peruncit hanya boleh menghadkan jualan kepada tiga peket sahaja untuk setiap individu.

“Setakat di peringkat runcit, memang tiada larangan warga asing beli minyak masak peket, tapi pembelian kita kawal had tiga peket.

“Untuk larangan kepada warga asing memang setakat ini tidak dibuat larangan

“Larang boleh tapi peruncit kena laksana. Kalau ambil gambar boleh tapi apa mekanisme dia,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan terdapat dakwaan peniaga yang menjual minyak masak peket sekilogram bersubsidi kepada warga asing tanpa kawalan.

Sementara itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam proses mengaudit bekalan minyak masak peket bersubsidi yang bermula Oktober 2023 hingga Mac ini.

“Kita audit bermula dari peringkat pengilang, sama ada wujud ketirisan atau penyelewengan atau tidak.

“Audit ini juga penting untuk tengok keperluan dan permintaan rakyat yang semakin bertambah.

“Ketika ini keperluan 60,000 tan metrik dan itu masih tidak mencukupi,” katanya.

Katanya, hasil dapatan audit itu penting untuk melihat tahap pematuhan pihak yang terlibat dalam penjualan minyak masak peket agar dinikmati rakyat sepenuhnya.

“Ada tindakan kepada pengilang dan pihak yang membungkus yang lihat berlaku tidak patuh dan wujud penyelewengan.

“Dari aspek mesin pembungkusan itu pula tidak dibezakan antara minyak masak subsidi atau tidak.

“KPDN ada ambil tindakan sebelum ini termasuk batalkan hak menjual, tarik balik kuota, sebab kita tidak akan berkompromi dalam soal ini,” katanya. – MalaysiaGazette