Pegawai SPRM mengiringi bekas ketua jabatan syarikat insurans yang didapati meminta dan menerima wang rasuah daripada pembekal perkhidmatan latihan dan perundingan untuk syarikat berkenaan yang dianggarkan berjumlah kira-kira RM500,000 sebagai balasan mengesyorkan pemberian kontrak kepada tiga buah syarikat. Gambar: Ihsan SPRM

KUALA LUMPUR – Bekas ketua jabatan syarikat insurans direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas dipercayai meminta dan menerima wang rasuah sebagai balasan mengesyorkan pemberian kontrak kepada tiga buah syarikat.

Nilai suapan yang diterima daripada pembekal perkhidmatan latihan dan perundingan untuk syarikat berkenaan sebanyak RM500,000.

Suspek wanita berusia sekitar 30-an ditahan semalam kira-kira pukul 7.20 malam ketika hadir bagi dirakamkan keterangan di Pejabat SPRM Kuala Lumpur.

Susulan penahanan itu, suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pagi tadi dan perintah reman selama tujuh hari bermula hari ini oleh Majistret Atiqah Mohamed.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Fauzi Husin ketika dihubungi mengesahkan penahanan terhadap suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast