Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jangkitan virus Human Papiloma (HPV) yang berterusan perlu dikenal pasti melalui saringan dengan segera sebagai langkah awal dalam mencegah penyakit kanser serviks.

Pensyarah dari Jabatan Obstetrik & Ginekologi, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Mohamad Nasir Shafiee berkata, virus tersebut biasanya menjangkiti bahagian kemaluan wanita yang telah melakukan hubungan kelamin.

Prof. Dr. Mohamad Nasir

“Sekitar 90 peratus daripada jangkitan ini bersifat sementara dan akan hilang. Namun, jangkitan yang berterusan boleh menyebabkan virus ini mengubah keadaan sel-sel di bukaan mulut serviks menjadi “garang” (dysplasia).

“Virus ini juga mampu menyebabkan beberapa jenis kanser lain, termasuk kanser vulva, vagina, anus dan zakar.

“Walaupun jangkitan virus ini terjadi melalui hubungan seksual, tetapi ia bukanlah seperti penyakit kelamin lain seperti AIDS dan gonorrhea,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, kanser serviks adalah kanser ketiga tertinggi yang mencatat kematian dalam kalangan wanita selepas kanser payu dara dan kanser usus di negara ini.

Katanya, pengambilan vaksinasi HPV seperti yang disyorkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan WHO adalah satu langkah permulaan yang efektif dalam mencegah penyakit kanser itu.

Dr. Mohamad Nasir berkata, bagi wanita yang telah berumah tangga atau menjalani hubungan kelamin, vaksin tersebut juga dapat membantu mengurangkan risiko kanser sehingga 70 peratus.

Katanya, namun, mereka digalakkan untuk mengambil tiga dos vaksin dalam tempoh enam bulan.

“Malaysia kini sedang giat melaksanakan program vaksinasi dalam kalangan pelajar perempuan berumur 13 tahun.

“Tetapi malangnya di Malaysia dan kebanyakan negara di dunia, vaksinasi ini hanya tertumpu pada perempuan sahaja.

“Kajian menunjukkan vaksinasi dalam kalangan kanak-kanak lelaki juga akan meningkatkan perlindungan kanser lebih tinggi,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast