Fahmi Fadzil dan Teo Nie Ching hadir pada sidang media Pasca Mesyuarat Kabinet di Kementerian Komunikasi di sini hari ini.

PUTRAJAYA – Jemaah Menteri mengutuk serangan ke atas rumah Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham hingga kereta pemimpin itu terbakar menggunakan bahan molotov cocktail dalam kejadian di Perak, awal pagi tadi.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan merangkap Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, turut memberi amaran keras bahawa sebarang tindakan yang melanggar undang-undang akan diambil tindakan tegas oleh pihak berkuasa.

“Jemaah Menteri mengutuk sekeras-kerasnya tindakan jenayah membakar kediaman Ahli Parlimen Beruas yang berlaku awal pagi tadi serta mengucapkan penghargaan kepada bomba yang memadam kebakaran itu dengan segera.

“Jemaah Menteri turut memberi amaran keras bahawa sebarang tindakan yang melanggar undang-undang akan diambil tindakan tegas oleh pihak berkuasa,” katanya pada sidang media Pasca Mesyuarat Kabinet di kementeriannya di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.

Awal pagi tadi, kediaman dan tiga kereta milik Koo Ham di Lorong Semarak Jaya, Ayer Tawar terbabit kebakaran.

Koo Ham menerusi Facebook pagi ini berkata, kebakaran dapat dibendung dan tiada mangsa dilaporkan cedera.

Beliau turut memaklumkan akan mengadakan sidang media di Pusat Khidmat Ayer Tawar berkenaan insiden terbabit pukul 12.30 tengahari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Tawar dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 3.05 pagi tadi.

Koo Ham sebelum ini mencadangkan pakar perlembagaan daripada kalangan bukan Islam dilantik dalam Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dun Untuk Menggubal Undang-Undang Islam.

Beliau bagaimanapun memohon maaf dan menarik semula cadangannya itu selepas dikritik pelbagai pihak.

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke  berkata, parti mengutuk sekeras-kerasnya tindakan serangan ganas ini yang mengancam keselamatan nyawa keluarga beliau dan menegaskan apa sahaja bentuk unsur keganasan tidak boleh diterima sekali dalam menangani perbezaan dalam masyarakat kita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – MalaysiaGazette