Zayn Rayyan Abdul Matiin

SHAH ALAM – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan tidak akan menghentikan siasatan demi memastikan pembunuh kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin dapat diberkas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain menegaskan, anggota polis sehingga kini masih berada di lapangan melakukan siasatan. 

“Semua terkesan secara emosional dengan kes ini. Anggota sangat semangat menyelesaikan kes sehingga hari ini masih lagi berada di lapangan cuba proses semuanya di bawah kepimpinan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.

“Saya nak katakan, kami tidak berhenti dan kami tidak akan berhenti menyiasat,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen Selangor di sini hari ini.

Dalam masa yang sama, Mohd Shuhaily berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang memberikan pelbagai input yang wajar dipertimbangkan dalam siasatan berkenaan.

Beliau turut mengajak agar rakyat khususnya yang beragama Islam berdoa supaya diberikan petunjuk daripada Allah berhubung siasatan kes berkenaan.

“Kita sudah usaha sebagai seorang Islam mari sama-sama berdoa Allah beri kita petunjuk dan orang yang melakukan jenayah kejam itu dapat kita bawa ke keadilan,” katanya lagi.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, polis kini terarah  kepada menilai semua maklumat yang dikumpul sepanjang siasatan.

Jelasnya, siasatan polis kini sudah melepasi 90 peratus keseluruhan siasatan termasuk dalam elemen forensik, patologi, keterangan saksi dan siasatan di tempat kejadian.

Sebagai rekod, Zayn, 6, dilaporkan hilang pada 5 Disember lalu sebelum ditemui meninggal dunia keesokannya di kawasan anak sungai berhampiran kediamannya di Apartment Idaman, Damansara Damai.

Hasil siasatan forensik dan patalogi Hospital Sungai Buloh, pihak polis mengesahkan Zayn mati akibat kesan kecederaan pada leher dan badan kerana mempertahankan diri.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ibu kanak-kanak itu, Ismanira Abdul Manaf sebelum ini menerusi hantaran di Instagram berharap supaya kematian anak sulungnya itu mendapat pembelaan yang seadilnya. – MalaysiaGazette