PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan, di sini, hari ini membatalkan pengislaman oleh bekas suami Loh Siew Fong secara unilateral (sepihak) kekal beragama Islam terhadap tiga orang anaknya.
Tiga panel hakim yang telah dipengerusikan Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail sebulat suara membenarkan rayuan Siew Hong yang menganuti agama Buddha.
Siew Hong merayu pertukaran agama ke atas anak perempuan kembarnya yang berusia 15 tahun dan seorang anak lelaki 12 tahun.
Kata Hadhariah, penukaran agama secara unilateral menyalahi undang-undang jika tidak mendapat persetujuan daripada ibu dan bapa.
“Sebelum ini Mahkamah Tinggi telah menolak semakan kehakiman pemohon bagi batalkan penukaran agama anak-anaknya. Mahkamah terkhilaf kerana tidak pertimbang dua isu penting.
“Yang pertama, jika penukaran agama secara unilateral itu sah serta adakah enakmen negeri Perlis yang membenarkan ibu atau bapa untuk mengislamkan anak adalah tidak sah kerana melanggar Perlembagaan Persekutuan.
“Mahkamah Tinggi gagal menjawab dua isu ini yang juga telah mengakibatkan kesilapan undang-undang,” katanya bersama Datuk Hashim Hamzah dan Datuk Azhahari Kamal Ramli.
Peguam mewakili Siew Hong, J Gunamalar ketika bercakap dengan MalaysiaGazette berkata, keadilan akhirnya dapat diberikan kepada anak guamnya yang banyak melalui dugaan berikutan perjuangannya mendapatkan tiga anaknya.
Siew Hong telah memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi pada 25 Mac 2022 bagi mencabar pengislaman ketiga-tiga anaknya oleh bekas suaminya yang memeluk Islam sekali gus memohon membatalkan pengislaman berkenaan.
Beliau menamakan Pendaftar Mualaf Negeri Perlis, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan kerajaan Perlis dinamakan sebagai responden pertama hingga keempat.
Sebelum itu, pada keputusan Mahkamah Tinggi berbeza, wanita itu telah memperoleh semula jagaan bagi ketiga-tiga anak tersebut selepas berada di bawah jagaan persendirian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Ibu tunggal itu empertikai pengislaman anak-anaknya yang dibuat oleh bekas suaminya, Nagahswaran secara sebelah pihak dan tindakan lelaki itu mendaftarkan anak-anak mereka sebagai muslim tanpa persetujuannya pada 7 Julai 2020. -MalaysiaGazette