KUALA LUMPUR – Pas memandang serius dan mengutuk keras perbuatan khianat terhadap Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham di rumahnya awal pagi tadi hingga mengakibatkan kerosakan harta benda milik beliau.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hasan berkata, perbuatan sedemikian tidak boleh diterima sama sekali dari sudut mana pun, bukan sahaja kerana bercanggah dengan undang-undang, tetapi juga berlawanan dengan prinsip asas kehidupan bermasyarakat yang aman dan harmoni.
“PAS percaya perbezaan pandangan dan kepercayaan tidak mewajarkan apa-apa juga tindakan yang melampaui batas undang-undang serta akhlak, terutamanya yang boleh mengancam nyawa serta keselamatan harta benda,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru, katanya, Pas menyambut baik tindakan segera yang diambil oleh pihak berkuasa dalam mengawal keadaan dan menjalankan siasatan pantas bagi mengenal pasti dan menangkap pihak-pihak yang terbabit.
Tambahnya, semua usaha mesti diambil bagi menyuraikan ketegangan yang mungkin berlaku akibat perbezaan-perbezaan itu dengan segera, adil dan bijaksana.
Selain itu, semua pihak juga perlu lebih peka dan cermat terhadap penyuaraan apa-apa pandangan, pendirian atau cadangan yang boleh menyumbang kepada ketegangan serta suasana tidak harmoni dalam masyarakat dan berkemungkinan menjadi percikan api yang memulakan kebakaran lebih besar.
Dalam pada itu, PAS juga berharap Ko Ham dan keluarga terus bertenang dan tidak terlalu terkesan dengan insiden tersebut atas kesedaran bahawa beliau sentiasa memperoleh simpati dan sokongan moral semua rakyat Malaysia yang cintakan keamanan, selain mendapat perlindungan undang-undang yang berkuat kuasa di negara ini. – MalaysiaGazette