KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor telah menahan seorang penolong pegawai tadbir kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah bernilai kira-kira RM6,000.
Menurut sumber, suspek lelaki yang berusia sekitar 40-an ditahan pada kira-kira jam 2 petang tadi ketika hadir di Pejabat SPRM Selangor bagi dirakamkan keterangan.
“Siasatan awal mendapati suspek telah meminta dan menerima wang rasuah kira-kira RM6,000 yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi miliknya daripada sebuah syarikat pada 2021.
“Wang rasuah ini sebagai balasan kerana suspek telah membocorkan maklumat sebut harga bagi kerja-kerja perkhidmatan pembersihan serta penyelenggaraan landskap Mahkamah Syariah di Selangor yang bernilai lebIh RM130,000,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim mengesahkan penahanan terhadap suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.
Katanya, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam pada esok pagi bagi proses permohonan reman. – MalaysiaGazette