PUTRAJAYA – Peguam kepada keluarga Tun Daim Zainuddin kesal dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang didakwa gagal mengemuka dan menjelaskan apakah kesalahan isteri Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Nai’mah Abdul Khalid dan dua anak lelakinya.
Peguam, Rajesh Nagarajan berkata, berdasarkan kepada 50 soalan yang diajukan kepada Nai’mah, SPRM tidak menyatakan pertuduhan yang dihadapi olehnya.
Malah tambah Rajesh, soalan yang dikemukakan hanya menjurus kepada aktiviti memancing maklumat bagi mendakwa Daim.
“Kita tidak tahu apa kesalahan yang telah dibuat, jadi apabila soalan ditujukan kepada anak guam saya tidak dapat tahu adakah soalan ini relevan atau tidak.
“Ini jelas menunjukan satu fishing expedition (memancing maklumat) di mana mereka (SPRM) sebenarnya membuat siasatan untuk mencari apakah kesalahan yang telah dibuat. Langsung tidak masuk akal,” kata Rajesh diluar perkarangan ibu pejabat SPRM.
Nai’mah dan dua anaknya, Mohammed Amin dan Mohammed Amir meninggalkan SPRM pada jam 7.30 malam selepas hampir sembilan jam merakamkan keterangan secara berasingan.
Dalam pada itu, peguam kepada anak-anak Daim, Sachpreetraj Sohanpal mendakwa, pihaknya turut gagal mendapat butiran penuh mengenai punca sebenar ketiga-tiga mereka dipanggil ke SPRM, hari ini.
“(SPRM) pun tidak menyatakan (pertuduhan) pada dasarnya apa yang kami minta senang sahaja, kami nak tahu dasar dan asas untuk SPRM memulakan penyiasatan nanti.
“Sekiranya anak guam kita disyaki telah melakukan sesuatu kesalahan, pasti ada kaitan dan fakta latar belakang yang telah menyebab pihak SPRM mengambil tindakan ini untuk memulakan siasatan. Itu yang kita nak tahu tapi butiran malangnya kita tidak dapat,” katanya lagi.
Sachpreetraj turut berkata, SPRM hanya memaklumkan kepada anak guamnya bahawa badan itu sedang melakukan siasatan untuk mencari kesalahan mereka.
“Kami sedang menyiasat untuk memastikan apa yang kesalahan yang telah dibuat,” ulang Sachpreetraj.
Ditanya sama ada Daim akan turut dipanggil ke SPRM, Rajesh berkata, pihaknya tidak dimaklumkan mengenai perkara tersebut.
“Mereka (SPRM) tidak maklumkan perkara itu. Saya ada tanya tapi tidak dijawab,” jawab Rajesh.
Awal pagi ini, Nai’mah dan anak-anaknya iaitu Mohammed Amin hadir di pekarangan ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jam 10.05 pagi membantu siasatan berkaitan bekas Menteri Kewangan dan ahli perniagaan itu.
Nai’mah dalam kenyataan yang diedarkan kepada media sebelum memasuki premis SPRM berkenaan berkata beliau dan anaknya akan memberikan kerjasama kepada SPRM seperti dikehendaki undang-undang.
SPRM sebelum ini menjelaskan bahawa siasatan terhadap Daim dibuat berdasarkan maklumat daripada Kertas Pandora, dan menurut SPRM kertas siasatan terhadap bekas menteri kewangan itu telah dibuka pada Februari tahun lepas. – MalaysiaGazette