PUTRAJAYA – Sesi merakam keterangan isteri kepada Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Nai’mah Abdul Khalid, masih dilakukan biarpun sudah enam jam ia berlangsung.
Menurut peguam, Rajesh Nagarajan, bagaimanapun keterangan darupada dua anak Daim selesai dilakukan.
“Sesi merakam keterangan di pihak Toh Puan masih berjalan,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Dalam pada itu, Rajesh berkata, tiada kenyataan akan dibuat oleh ketiga-tiga mereka kepada media selepas selesai sesi memberi keterangan.
Nai’mah dan anak-anaknya iaitu Mohammed Amin dan Muhammad Amir hadir di pekarangan ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada jam 10.05 pagi bagi membantu siasatan berkaitan bekas Menteri Kewangan dan ahli perniagaan itu.
Nai’mah dalam kenyataan yang diedarkan kepada media sebelum memasuki premis SPRM berkenaan berkata, beliau dan anaknya akan memberi kerjasama kepada SPRM seperti dikehendaki undang-undang.
SPRM sebelum ini menyatakan bahawa siasatan terhadap Daim dibuat berdasarkan maklumat daripada Kertas Pandora dan kertas siasatan dibuka pada Februari tahun lepas. – MalaysiaGazette