Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman tiga penjawat awam kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah kira-kira RM12,000 daripada sebuah syarikat berhubung kerja-kerja penurapan jalan yang tidak mengikut spesifikasi.

Perintah reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 16 Januari 2024 terhadap ketiga-tiga suspek yang berusia sekitar 30-an hingga 40-an dikeluarkan Majistret Atiqah Mohamed selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, pagi tadi.

Menurut sumber, ketiga-tiga suspek yang bekerja di sebuah agensi pihak berkuasa tempatan (PBT) telah ditahan sekitar pukul 7.45 malam semalam ketika hadir bagi dirakamkan keterangan di Pejabat SPRM Kuala Lumpur.

“Ketiga-tiga suspek ini telah meminta dan menerima wang rasuah daripada syarikat berkenaan selepas mendapati kerja-kerja penurapan jalan yang dilaksanakan sekitar April hingga Jun 2023, tidak mengikut spesifikasi sebagaimana ditetapkan.

“Wang rasuah keseluruhannya sekitar RM12,000 kemudian dimasukkan ke dalam akaun peribadi ketiga-tiga suspek sebagai balasan agar kompaun tidak dikeluarkan kepada syarikat berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Fauzi Husin ketika dihubungi mengesahkan penahanan terhadap ketiga-tiga suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast