KUALA LUMPUR – Kadar pengangguran pada bulan November turun kepada 3.3 peratus dan kembali ke paras prapandemik, mencatatkan 569,200 orang penganggur.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, prestasi tenaga buruh negara menunjukkan peningkatan pada bulan November 2023, mengisyaratkan pertumbuhan positif ekonomi semasa, dengan pertambahan berterusan dalam bilangan penduduk bekerja, manakala pengangguran terus menurun.

Oleh itu, bilangan tenaga buruh terus mencatatkan peningkatan pada bulan November 2023, naik sebanyak 0.2 peratus bulan-ke-bulan kepada 17.0 juta orang (Oktober 2023: 16.97 juta orang).

Kadar penyertaan tenaga buruh pada November 2023 kekal pada 70.1 peratus, sama seperti pada bulan sebelumnya.

Menurut beliau, bilangan penduduk bekerja pada bulan November 2023 terus meningkat dengan pertambahan sebanyak 0.2 peratus bulan-ke-bulan, mencecah kepada seramai 16.43 juta orang berbanding bulan sebelumnya (Oktober 2023: 16.40 juta orang).

Kadar pengangguran pada bulan tersebut turun kepada paras prapandemik iaitu 3.3 peratus berbanding 3.4 peratus yang direkodkan pada bulan lalu.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai situasi guna tenaga, katanya, daripada jumlah bilangan penduduk bekerja pada bulan November 2023, 75.3 peratus berada dalam kategori pekerja.

Kategori ini mencatatkan sedikit peningkatan iaitu sebanyak 0.1 peratus kepada 12.37 juta orang (Oktober 2023: 12.35 juta orang).

Pada masa yang sama, kategori penduduk bekerja sendiri berada dalam trend menaik, meningkat sebanyak 0.3 peratus kepada 2.99 juta orang
(Oktober 2023: 2.99 juta orang).

Mengikut sektor ekonomi, bilangan penduduk bekerja dalam sektor perkhidmatan terus meningkat, terutamanya dalam aktiviti maklumat & komunikasi; perkhidmatan makanan & minuman; serta pengangkutan & penyimpanan.

Begitu juga, sektor pembuatan, pembinaan dan perlombongan & pengkuarian turut menunjukkanpeningkatan dalam bilangan penduduk bekerja pada November 2023.

Sektor pertanian merekodkan penurunan dalam bilangan penduduk bekerja pada bulan yang sama.

Mengulas lebih lanjut mengenai situasi pengangguran pada bulan tersebut, Mohd Uzir berkata, mereka yang bersedia untuk bekerja dan
aktif mencari pekerjaan atau penganggur aktif, merangkumi 79.9 peratus daripada jumlah penganggur.

Kategori ini turun sebanyak 0.6 peratus kepada 454,500 orang (Oktober 2023: 457,200 orang).

Mengikut tempoh pengangguran bagi penganggur aktif, 61.8 peratus adalah mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan,
sementara 6.3 peratus merupakan mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun.

Manakala, penganggur tidak aktif atau mereka yang percaya tiada pekerjaan tersedia, meningkat sebanyak 0.8 peratus kepada
114,700 orang (Oktober 2023: 113,800 orang).

Kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 24 tahun berkurang sebanyak 0.1 mata peratus kepada 10.6 peratus pada November 2023, mencatatkan seramai 308,500 penganggur belia (Oktober 2023: 10.7%; 313,300 orang).

Begitu juga, kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 30 tahun turun sebanyak 0.1 mata peratus kepada 6.5 peratus, dengan bilangan penganggur belia seramai 432,000 orang (Oktober 2023: 6.6%; 439,600 orang).

Bagi kumpulan tidak aktif, bilangan luar tenaga buruh pada bulan tersebut berada dalam trend penurunan, dengan sedikit pengurangan iaitu sebanyak 0.03 peratus merekodkan 7.24 juta orang (Oktober 2023: 7.24 juta orang). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast