Datuk Dr Adnan Mat
Adnan Mat

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS)  menyeru semua penjawat awam supaya mendaftar Pangkalan Data Utama (PADU) sebagai langkah menyambut baik inisiatif kerajaan.

Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat berkata, kumpulan tersebut perlu menjadi contoh kepada masyarakat dalam memastikan kejayaan program PADU.

“Kita ada kira-kira 1.7 juta penjawat awam ketika ini dan sekiranya masing-masing mengambil tanggungjawab untuk mendaftar dengan lebih awal, CUEPACS yakin jumlah pendaftaran PADU akan meningkat dengan mendadak,” katanya ketika ditemui semasa program lawatan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong ke Wisma CUEPACS di sini hari ini.

Menurut Adnan, kongres itu difahamkan sehingga kini jumlah pendaftaran sistem berkenaan  mencecah satu juta sejak beberapa hari lalu.

Menurutnya, ketua-ketua jabatan juga perkhidmatan awam perlu memastikan setiap kakitangan mendaftar dalam sistem berkenaan. 

Jelasnya, sokongan daripada semua pegawai awam untuk segera mendaftar sistem PADU wajar dijadikan sebagai salah satu agenda utama dalam semua organisasi sektor awam.

“Ingatan mendaftar perlu dilakukan secara berkala. Pengumpulan data-data penjawat awam ini amat penting bagi membolehkan kerajaan menilai kemampuan sebenar kewangan penjawat awam yang akan menjadi sebagai satu justifikasi bagi peningkatan gaji yang dicadangkan olen CUEPACS,” jelasnya.

Katanya lagi, CUEPACS melalui semua gabungan kesatuan sekerja akan mengambil peranan proaktif dalam memastikan maklumat yang tepat sampai kepada penjawat awam.

 Adnan turut supaya  semua pihak supaya tidak menyebarkan gambaran salah mengenai sistem PADU terutama mengenal aspek keselamatan sistem tersebut.

“Semua pihak perlu yakin bahawa sistem yang dibina sepenuhnya oleh pasukan penjawat awam daripada Kementerian Ekonomi, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) adalah selamat dengan meletakkan komitmen terhadap keselamatan dan privasi data sebagai keutamaan tertinggi.

“Komitmen terhadap keselamatan dan privasi data turut menjadi keutamaan PADU seiring dengan saranan Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO) terutamanya dalam aspek penyimpanan maklumat,” katanya lagi.- MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.