KUALA LUMPUR – Insiden serangan harimau yang didakwa berlaku di Kampung Tenang Segamat baru-baru adalah palsu.
Kejadian itu disebarkan melalui video di media sosial, yang mana seorang lelaki cedera dipercayai diserang harimau.
Ketua Polis Daerah Segamat, Supritendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, semakan yang dibuat mendapati penyebaran video tular itu merupakan video sama seorang lelaki terputus tangan diserang buaya dipercayai berlaku di luar negara.
Malah, sehingga kini, polis belum menerima laporan mengenai kejadian itu.
Menurutnya, penyebaran video berkenaan telah mencetuskan panik dan kebimbangan orang awam, khasnya dalam masyarakat Kampung Tenang Segamat.
Sehingga kini, Ibu Pejabat Polis Daerah Segamat belum menerima sebarang laporan berkaitan kejadian mangsa diserang harimau.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan tidak percaya dan menyebarkan berita tidak berasas.
Mana-mana individu yang dikesan menyebarkan sebarang berita palsu boleh didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – MalaysiaGazette