Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Perak memindahkan dua ekor gajah liar yang digelar sebagai Yob Napi dan Yong Hani yang menceroboh kawasan tanaman penduduk di Kampung Chepor Lenggong, dalam satu operasi pemindahan haiwan itu menggunakan dua ekor gajah denak betina bernama Abot dan Rambai. Foto ABDULLAH YUSOF, 11 JANUARI 2024.

LENGGONG – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, berjaya menangkap empat ekor gajah liar yang memusnahkan tanaman penduduk di Kampung Chepor, di sini, pada 5 dan 8 Januari lalu.

Pengarahnya, Yusoff Shariff berkata, dua daripada empat ekor gajah liar berkenaan dipindahkan ke Hutan Simpan Belum, Gerik, pada Khamis manakala bakinya pada Sabtu.

Menurut beliau, gajah jantan yang diberi nama Yob Napi berusia sekitar 35 tahun itu akan dipindahkan bersama Yong Hani berusia sekitar 50 tahun.

“Alhamdulillah operasi pemindahan Yob Napi dan Yong Hani berjalan lancar meskipun terdapat sedikit masalah diperingkat awal disebabkan cuaca agak panas hari ini.

“Kedua-dua gajah ini akan dilepaskan sekitar Hutan Simpan Belum dan saya mengucapkan terima kasih kepada semua penduduk kampung dan agensi serta jabatan lain yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Operasi Pemindahan Gajah Liar di Kampung Chepor, di sini, pada Khamis.

Mengulas lanjut, Yusoff berkata, empat ekor gajah yang ditangkap itu merupakan sebahagian daripada kawanan gajah liar di Hutan Simpan Piah, Lenggong yang dianggarkan sekitar 27 ekor.

“Mengikut kiraan kami terdapat 27 ekor gajah di Hutan Simpan Piah dan mereka ini berpecah kepada dua kumpulan dan satu kumpulan terdiri daripada 13 ke 14 ekor ini yang masuk ke Kampung dan satu kumpulan lagi kembali ke hutan simpan.

“Gajah-gajah yang ditangkap ini masuk ke kawasan kebun Kampung Chepor sejak November tahun lalu dan rentetan daripada aduan penduduk kami menjalankan operasi menangkap gajah,” katanya.

“Kalau ada gangguan segera laporkan kepada Perhilitan Perak dan kita akan mengambil tindakan,” katanya. – MalaysiaGazette