Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani melawat tapak pameran selepas hadir ke majlis perasmian Palm Oil Economic Review and Outlook Seminar 2024 (R&O Seminar 2024) anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) ketika di Pullman, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 11 JANUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) harus dikembangkan lagi dalam usaha melahirkan modal insan tempatan dalam bidang industri sawit di negara ini.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Abdul Ghani berkata, TVET dilihat boleh menyediakan kursus khas memungut buah sawit kepada generasi muda agar industri tidak lagi bergantung kepada pekerja asing selamanya pada masa depan.

Menurutnya, ini kerana kerja memungut itu merupakan satu kepakaran yang tidak boleh dimiliki oleh semua orang dan memerlukan latihan.

“Kita punya industri masalahnya adalah pekerja dan industri ini adalah besar untuk negara. Eksport sahaja adalah RM130 bilion.

“Jadi bila pekerja jadi isu dan kita berdepan dalam keadaan tidak cukup pekerja maka kita tidak boleh memungut hasil. Kerja-kerja biasa semua orang boleh buat tetapi memungut buah kelapa sawit ini kita tidak ada lagi profesion kerana industri memiliki 5.6 juta hektar.

“Jadi kalau tidak ada pekerja, kita fikir TVET boleh sedia kursus untuk ajar anak-anak muda supaya daripada habis TVET, terus boleh memungut hasil sawit.

“Tetapi TVET khas untuk memungut buah sawit kerana banyak tempat dia boleh buat kerana ada 5.6 juta hektar. Ini kerana saya takut, buah sawit ada tetapi tidak orang yang kutip,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Seminar Kajian dan Tinjauan Ekonomi Minyak Sawit 2024 (R&O Seminar 2024) anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB)di sini hari ini.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani membuat gimik perasmian Palm Oil Economic Review and Outlook Seminar 2024 (R&O Seminar 2024) anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) ketika di Pullman, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 11 JANUARI 2024.

Mengulas lanjut, Johari memberitahu, pekerja tempatan yang sudah mahir sebagai pemungut buah sawit tidak boleh diberi layan sama rata dengan pekerja asing dari segi gaji yang ditawarkan.

Kata beliau, industri perlu memastikan mereka menjadi karier memungut buah sawit itu sebagai profesion kerana telah mendapat latihan kursus sebelum itu.

“Saya telah bercakap dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana beliau sedang rangka dasar TVET dan sama ada boleh ia diterokai lebih luas lagi.

“Boleh tak kita buat kursus dalam kumpulan yang kecil dahulu dan ambil 40 hingga 50 pelatih yang diletakkan dalam kelas di mana pakar indutri seperti MPOB akan mengajar mereka seperti pungut buah di pokok rendah, sederhana dan tinggi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast