Perdana Menteri, Datyuk Seri Anwar Ibrahim bersama rakan sejawatannya dari Singapura Lee Hsien Loong hari ini menyempurnakan detik bersejarah Projek Rapid Transit System Link (RTS Link) secara simbolik antara Malaysia dan Singapura di Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong hari ini menyaksikan detik bersejarah Projek Rapid Transit System Link (RTS Link) secara simbolik antara Malaysia dan republik berkenaan.

Penyambungan itu melibatkan penyempurnaan span iaitu titik pertemuan jejambat marin projek tersebut antara Johor Bahru dan Singapura.

Pelancaran majlis yang merupakan kali pertama melibatkan kedua-dua pemimpin tertinggi itu menyaksikan mereka bertemu di tapak projek berkenaan.

Ia sekaligus menunjukkan komitmen Malaysia dan Singapura terhadap projek bernilai berbilion ringgit itu.

Dalam majlis itu, Anwar dan Hsien Loong turut menandatangani plak simboliknya menunjukkan komitmen kedua-dua negara terhadap pembinaan projek tersebut yang kini sudah mencapai tahap kemajuan 65 peratus.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, Pemangku Menteri Pengangkutan Singapura, Chee Hong Tat dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Projek RTS Link merupakan rangkaian kereta api ulang-alik sepanjang kira-kira empat kilometer dengan dua stesen masing-masing di Bukit Chagar di sini dan di Woodlands North, Singapura.

Aliran itu nanti mampu menampung  sehingga 10,000 penumpang setiap jam bagi setiap arah dan masa perjalanan kira-kira lima minit antara kedua-dua stesen, laluan RTS yang dijadualkan siap pada Disember 2026 itu akan menyediakan perjalanan mudah dan selesa antara Singapura dan Johor Bahru.

Projek itu juga dijangka memberi wajah  baharu perhubungan dua hala antara kedua-dua negara di samping inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang masih lagi dibincangkan. – MalaysiaGazette