KAJANG – Pemuda Perikatan Nasional (PN) hari ini membuat laporan polis bagi menutup fitnah jahat berkaitan Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham yang cuba mengaitkan kes kebakaran kediamannya dengan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Ketua Dewan Pemuda Pas, Fadhli Shaari berkata, kenyataan Koo Ham itu dilihat cuba mendahului pihak polis dengan mengesyaki insiden itu didalangi PN dan Pas.
“Beliau mendahului siasatan pihak polis dengan meletakkan syak bahawa pelaku yang terdorong kononnya daripada Pas dan PN yang tidak setuju dengan kenyataan beliau.
“Ini berikutan cadangan beliau supaya diletakkan pakar bukan Islam dalam Jawatankuasa Mengkaji Kompetensi DUN Dalam Menggubal Undang-Undang Syariah.
“Sebab itu kami datang untuk membuat laporan polis supaya kenyataannya itu disiasat,” katanya pada sidang media selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Pemuda PN, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Sebelum ini media melaporkan, siasatan awal di tempat kejadian menemui satu botol disyaki ‘olotov cocktail yang dipercayai dibaling ke kediaman Koo Ham di Lorong Semarak Jaya, Ayer Tawar, Manjung, Perak.
Pada kejadian jam 2.55 pagi itu, Mercedes Benz E300 milik Koo Ham musnah terbakar, dua lagi kereta dan syiling di perkarangan rumahnya turut terbakar.
Dalam pada itu, Fadhli turut mengucapkan terima kasih kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang melarang sesiapa mendahului siasatan termasuk mengeluarkan persepsi dan sangkaan terhadap mana-mana suspek.
“Ini kerana untuk mengenal pasti suspek dan menjalankan siasatan ini merupakan kuasa pihak polis,” katanya.
Selain itu, PN dan Pas mengucapkan takziah kepada Koo Ham di atas kejadian yang menimpa Ahli Parlimen Beruas itu.
“Kita ingin menyatakan bahawa perbuatan ini adalah tidak boleh diterima dalam negara kita, dalam dalaman demokrasi negara kita pada hari ini.
“Apa juga perbezaan yang berlaku, tidak perlu sampai ke peringkat khianat kepada harta orang lain.
“Kita doakan Ngeh Koo Ham diberikan keadilan, dipermudahkan urusan menuntut insurans dan sebagainya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette