Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu menetapkan pemberian bonus sebanyak RM2,000 untuk semua penjawat awam negeri tahun ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil berkata, penetapan itu dibuat supaya selari dengan jumlah bonus yang diumumkan kerajaan pusat.

Beliau berkata, pembayaran bonus kepada 14,457 penjawat awam negeri itu juga akan dibuat selaras dengan kerajaan pusat iaitu akhir Februari ini.

“Saya tahu ramai tertunggu-tunggu bonus…kita dah buat ketetapan. Seperti kata Menteri Besar…(bonus) itu adalah pentadbiran.

“(Jadi) kalau ikut pentadbiran kita ikut yang disarankan oleh Persekutuan sebanyak RM2,000. Dah tetap..tunggu masa sebelum atau akhir Februari sebagaimana yang dipekelilingkan oleh Persekutuan,” katanya pada Majlis Pelancaran Hari Pangkalan Data Utama (PADU) Bersama Penjawat Awam Peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia negeri Marlini Sahul Hamid dan Pengarah Jabatan Penerangan negeri Sait Yaman.

Dalam pada itu, Tengku Farok Hussin turut menyeru semua penjawat awam negeri itu agar segera mendaftar dengan sistem PADU bagi memastikan mereka mendapat manfaat yang disediakan kerajaan.

Beliau berkata, mengikut maklumat daripada Jabatan Perangkaan Malaysia Terengganu, lebih 2,000 daripada 14,457 penjawat awam negeri telah mendaftar dengan PADU setakat hari ini.

“Kerajaan negeri akan memantau prestasi pengemaskinian maklumat PADU oleh lebih 14,000 pejawat awam negeri. Ini bagi memastikan tiada individu tercicir dan sentiasa dalam radar kerajaan.

“Pengemaskinian semula di sistem PADU juga perlu dilakukan bagi mendapatkan gambaran status terkini rakyat untuk kerajaan menambah baik mekanisme penentuan kumpulan sasar,” katanya. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast