LUSAKA – Presiden Zambia Hakainde Hichilema menggesa penduduk di bandar negara ini berpindah ke kampung berikutan kematian kira-kira 300 orang akibat wabak taun.
Sanitasi buruk di beberapa kawasan bandar yang padat penduduk menjadi tempat wabak taun, katanya.
Untuk mengurangkan kesesakan di bandar utama, penduduk harus berpindah ke kawasan luar bandar yang mempunyai ruang yang cukup dan “sanitasi yang sempurna”, tambah Hichilema.
Lebih 7,500 kes taun dilaporkan di seluruh negara sejak Oktober lalu.
Dalam tempoh 24 jam terakhir, terdapat lebih 500 kes baharu dan 17 kematian, kata kementerian kesihatan.
Pembukaan semula sekolah telah ditangguhkan sebagai sebahagian daripada siri langkah pencegahan.
Wabak tersebut setakat ini telah merebak ke lapan daripada 10 wilayah Zambia.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) akan menghantar kira-kira satu juta dos vaksin kolera dalam beberapa hari akan datang dalam usaha untuk membendung wabak itu.
Beliau berkata, kerajaan akan mengambil beberapa langkah sukar dalam usaha membasmi penyakit bawaan air itu.
“Terdapat begitu banyak tanah di kampung, terdapat air bersih. Kami boleh membina rumah yang bagus di kampung, yang tidak tercemar,” kata Hichilema.
Pihak berkuasa akan menaik taraf kawasan setinggan sedia ada di bandar, dan .mencegah kemunculan baharu penempatan itu.
Mozambique dan Zimbabwe telah meningkatkan pengawasan untuk mencegah penularan rentas sempadan.
Sejak berbulan-bulan ini, Zimbabwe juga telah berjuang untuk membendung penularan taun kerana negara itu kekurangan air bersih.
Penyakit bakteria ini disebarkan melalui air atau makanan yang tercemar, dan menyebabkan dehidrasi teruk akibat muntah dan cirit-birit.
Wabak itu boleh membunuh dalam beberapa jam jika tidak dirawat. – Agensi