ISTANBUL – Yemen segera bertindak balas terhadap ‘pencerobohan Amerika’ apabila angkatan tentera negara itu bertindak balas ke atas kapal perang Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) di Laut Merah, kata pemimpin kumpulan Houthi, Ali al-Qahoum hari ini.
“Angkatan tentera Yemen bertindak balas terhadap kapal perang Amerika dan British di Laut Merah, mencetuskan perang yang mengerikan di Laut Merah dan menyasarkan kedudukan dan tapak tentera Amerika dan British dan apa yang akan datang lebih hebat lagi,” kata Al-Qahoum di platform X.
Timbalan Menteri Luar Yemen, Hussein al-Azzi berkata, negaranya yang menghadapi ‘serangan musuh yang meluas’ daripada tentera Amerika dan British memberi amaran bahawa Washington dan London sepatutnya bersedia untuk membayar harga yang tinggi.
“Negara kami tertakluk kepada serangan musuh yang meluas daripada kapal perang, kapal selam dan pesawat tentera Amerika dan dan British dan tanpa diragukan lagi Amerika dan British perlu bersedia untuk mambayar harga yang mahal dan menanggung semua akibat daripada pencerobohan terang-terangan ini,” kata A-Azzi di platform X.
Rangkaian televisyen Al-Masirah mengumumkan ibu negara Yemen, Sanaa telah tertakluk kepada ‘pencerobohan Amerika’
Agensi berita Saba, melaporkan pesawat AS dan UK melakukan serangan udara ke atas kawasan Sanaa, Al-Hudaydah, Sa’ada dan Dhamar.
Serangan dilakukan beberapa jam selepas pemimpin kumpulan Houthi, Abdul-Malik al-Houthi, memberi amaran bahawa sesiapa yang mengambil tindakan ketenteraan berisiko terhadap negaranya akan ‘membayar harga yang tinggi’, dengan memberi penekanan terhadap sebarang pencerobohan AS ‘tidak akan sesekali tidak dijawab’. – MalaysiaGazette