MCA mahu menggunakan lambang parti berbentuk bintang dalam Pilihan Raya Kecil di Balakong dan bukannya lambang dacing BN. Parti itu bagaimanapun kekal sebagai parti komponen BN.

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu membuat pertimbangan dengan lebih teliti dan menyalurkan maklumat tepat berhubung dasar Dasar Gaji Progresif.

Naib Presiden MCA, Datuk Ir Lawrence Low berkata, ia bagi memastikan pelaksanaannya berfungsi dengan baik dan adil demi kepentingan majikan dan pekerja.

“Dalam masa yang sama, memastikan semua pihak beroleh situasi menang-menang melalui dasar ini apabila dilaksanakan pada masa yang sesuai kelak,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Pada Rabu lalu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, kerajaan tidak akan semenang-wenangnya mewajibkan pelaksanaan Dasar Gaji Progresif, sebaliknya akan mengambil kira kemampuan majikan dan keadaan semasa ekonomi negara.

Beliau berkata, hal itu disebabkan pelaksanaan dasar berkenaan dibuat secara sukarela serta membaitkan insentif daripada kerajaan.

Menurut Rafizi, kementeriannya dan Kementerian Sumber Manusia hanya memberi tumpuan kepada gaji sektor swasta, manakala berkaitan kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) diuruskan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Dasar Gaji Progresif itu agak berbeza cabarannya, ia bukan semata-mata soal wang, tetapi juga bagaimana kita (kerajaan) mahu yakinkan majikan supaya bersama-sama menaikkan gaji secara berperingkat,” kata Rafizi.

Menurut Low, Dasar Gaji Progresif yang dirancang kerajaan kelihatan menarik, namun ia bukan masa yang sesuai untuk dilaksanakan pada ketika ini.

Tambah beliau, ia kerana antara prasyarat bagi pelaksanaan dasar baharu ialah kementerian atau agensi kerajaan yang berkaitan perlu merangka pelan secara menyeluruh dan telah diuji bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar.

“Walau bagaimanapun, pada masa ini, banyak butiran mengenai Dasar Gaji Progresif dan mekanisme pelaksanaannya masih belum diputuskan.

“Pelaksanaan secara terburu-buru akan menimbulkan lebih banyak keraguan pada masa akan datang,” ujarnya.

Low berkata, hanya sebilangan kecil syarikat yang telah mengambil bahagian memandangkan dasar ini masih di peringkat awal percubaan dan secara sukarela.

Salah satu sebabnya mungkin kerana timbul pelbagai persoalan mengenai dasar ini dan menyebabkan jurang gaji dalam kalangan pekerja, katanya.

Menurut Low, dua perkara yang timbul berhubung dasar ini ialah kos syarikat dan kesan terhadap pekerja.

“Memandangkan negara masih dibelenggu dengan kemelesetan ekonomi, maka banyak syarikat masih bergelut untuk terus hidup, jadi adakah pelaksanaan dasar gaji progresif akan membebankan lagi mereka?

“Selain itu, jika sesetengah perniagaan dan syarikat secara selektif melaksanakan Dasar Gaji Progresif, manakala yang lain tidak, atau jabatan tertentu di bawah syarikat yang sama menggunapakai dasar ini dan yang lain memilih untuk tidak melaksanakannya, maka ini secara tidak langsung akan mewujudkan kesan negatif..

Katanya, kesan itu bukan sahaja antara firma dan jabatan, malah ia juga akan menyebabkan kebimbangan ke atas motivasi, produktiviti dan prestasi para pekerja sekiranya mereka merasakan ketidakadilan akibat pelaksanaan dasar tersebut.

Berikutan itu, tambah beliau, jelas Rafizi tidak mempunyai rancangan yang komprehensif sebelum melaksanakan dasar tersebut.

“Rafizi perlu lebih realistik. Beliau gagal mempertimbangkan pemberian insentif untuk pemulihan syarikat atau penyusunan semula melalui dasar ini.

“Pada pendapat saya, daripada Rafizi bercadang untuk melaksanakan dasar baharu yang tidak realistik dan tidak pasti sejauh mana kejayaannya pada ketika ini, lebih baik memberi tumpuan untuk meningkatkan ekonomi negara, sekali gus dapat membantu rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast