wee ka siong
Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – MCA berharap kerajaan mempertimbangkan pengecualian kenaikan cukai perkhidmatan sebanyak dua peratus terhadap bil elektrik dan air yang dijadualkan bermula Mac ini.

Presidennya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, kenaikan dari enam ke lapan peratus akan menambah beban bulanan isi rumah dan perniagaan termasuk sektor pembuatan dan perkhidmatan.

Menurut beliau, memandangkan kehidupan rakyat sangat susah pada masa ini, kerajaan seharusnya mengekalkan kadar cukai perkhidmatan sedia ada untuk bil elektrik seperti yang diberikan untuk sektor makanan dan minuman, tempat letak kereta dan telekomunikasi.

“Telekomunikasi adalah utiliti bulanan asas. Begitu juga dengan elektrik dan air.

“Kenapa kadar cukai perkhidmatan tidak dikekalkan juga bagi caj elektrik dan air? Kerajaan perlu konsisten,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kenaikan kadar cukai perkhidmatan sebanyak dua peratus itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Parlimen, Oktober lalu.

Ka Siong memberitahu, awal bulan ini, pengusaha-pengusaha sektor komersial dan pembuatan telah membuat kenyataan bahawa mereka kecewa apabila tarif elektrik tidak dikurangkan walaupun kos bahan api turun dengan drastik.

“Kenapa perlu dibebankan lagi dengan kenaikan kadar cukai perkhidmatan?” soalnya.

Beliau menambah, peluasan skop cukai perkhidmatan ke banyak lagi sektor seperti perubatan tradisional dan perkhidmatan komplimentari, logistik serta penghantaran, pembrokeran dan penajajaminan seperti yang diumumkan kerajaan juga akan menambah beban perniagaan dan pengguna.

“Jadi, saya saran kerajaan untuk beri sedikit ruang kepada pengguna dan perniagaan untuk bernafas seketika setelah beberapa kali menanggung kenaikan bil elektrik sejak tahun lepas.

“Mereka juga menanggung beberapa cukai baharu yang bermula tahun ini untuk meredakan beban ke atas isi rumah dan menurunkan tekanan inflasi dari sektor perniagaan,” katanya. – MalaysiaGazette