Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Malaysia akan terus menyokong Afrika Selatan dalam tindakan undang-undang terhadap Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata Malaysia sebagai Negara Pihak kepada Konvensyen Genosid menyeru Israel untuk menghormati undang-undang antarabangsa dan menamatkan kekejamannya terhadap rakyat Palestin dengan serta-merta.

Malaysia mengulangi komitmen untuk memperjuangkan nasib rakyat Palestin di semua platform dan menantikan keputusan perbicaraan ICJ.

“Malaysia menyambut baik permulaan perbicaraan terbuka kes yang dibawa oleh Afrika Selatan terhadap Israel di ICJ yang diadakan pada 11 hingga 12 Jan,” menurut kenyataan Wisma Putra.

Permohonan itu difailkan pada 29 Dis 2023, berkaitan dengan pencabulan Israel terhadap obligasinya di bawah Konvensyen 1948 membabitkan Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid (“Konvensyen Genosid”) terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza.

Semasa hujah lisannya, Afrika Selatan menegaskan kepentingan segera supaya ICJ menetapkan langkah-langkah sementara termasuk mengarahkan Israel menghentikan kempen ketenteraannya di Gaza dan kekejaman terhadap rakyat Palestin dengan serta merta.

Afrika Selatan telah mengemukakan bukti-bukti yang kukuh mengenai niat dan perbuatan genosid yang melanggar Konvensyen Genosid.

Hari kedua akan disambung dengan hujah lisan daripada pihak Israel. Keputusan ICJ berhubung langkah-langkah sementara dijangka akan dikeluarkan dalam beberapa minggu akan datang.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast