Melaka akan mengekalkan penutupan jalan selama 54 jam di kawasan pelancongan Banda Hilir biarpun mendapat pelbagai reaksi masyarakat khususnya peniaga yang mahu ia dinilai semula.

MELAKA – Kerajaan negeri akan mengekalkan penutupan jalan selama 54 jam di kawasan pelancongan Banda Hilir biarpun mendapat pelbagai reaksi masyarakat khususnya peniaga yang mahu ia dinilai semula.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, penutupan jalan bermula 6 petang Jumaat hingga 12 tengah malam Ahad sempena pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan itu bagaimanapun akan dinilai setiap tiga bulan.

“Car Free Zone (CFZ) ini akan bersifat kekal pada hujung minggu kerana ini adalah kawasan tumpuan pelancong yang akan memberikan nilai tambah kepada pelancong dan juga pengusaha aktiviti pelancongan.

“Kita akan menilai selepas berjalannya kaedah ini dalam tempoh tiga atau empat bulan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini hari ini.

Mengulas lanjut Ab Rauf berkata, beliau juga mengambil maklum mengenai aduan pelbagai pihak terutamanya peniaga berhubung lanjutan program CFZ sejak tahun lalu.

“Pastinya di peringkat awal perubahan ini akan memberi kesan besar, tetapi akhirnya nanti akan jadi seperti pengalaman kita sebelum ini menutup laluan di Jonker Walk yang mendapat tekanan dan komen cukup hebat.

“Namun sekarang ini kita nak buka balik laluan di Jonker Walk, mereka juga akan menentang supaya kawasan itu dikekalkan sebagai CFZ,”katanya.

Jelasnya lagi, kerajaan negeri juga akan mengambil pelbagai pendekatan baharu bagi menyelesaikan isu kesesakan trafik kesan daripada pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan.

Sebelum ini, media melaporkan kerajaan melanjutkan pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan di Banda Hilir daripada 6 petang hingga 12 tengah malam hanya pada Sabtu kepada bermula 6 petang Jumaat hingga 12 tengah hari Ahad menjadikan ia ditutup berterusan selama 54 jam. – MalaysiaGazette