PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan (MOT) mengumumkan inisiatif penerbangan, perkhidmatan rel serta bas tambahan sempena sambutan Tahun Baru Cina pada awal bulan depan.
Menterinya, Anthony Loke berkata, ia membabitkan penerbangan tambahan dari Kuala Lumpur ke Sabah dan Sarawak oleh Batik Air dan penambahan trip tren elektrik (ETS) Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) dari Kuala Lumpur ke Ipoh dan
Padang Besar.
Menurut beliau, pihaknya turut meluluskan pembukaan permohonan Lesen Perubahan Sementara (LPS) untuk bas tambahan sepanjang musim perayaan itu.
“Bagi penerbangan tambahan, Batik Air bersetuju menambah lapan penerbangan tambahan dari Kuala Lumpur ke Sibu bagi perjalanan pada 6 dan 7 Februari depan yang mana tiket dijual serta merta bermula hari ini.
“Bagi menyokong mesej Malaysia Madani, Batik Air bersetuju menawarkan tambang ekonomi harga tetap pada RM399 untuk laluan sehala Kuala Lumpur ke Sibu.
“Saya juga dimaklumkan, Batik Air akan memulakan perkhidmatan berjadual ke Sibu dan Tawau berbanding dari Kuala Lumpur ke Kuching dan Kota Kinabalu sebelum ini,” katanya pada sidang media kementeriannya, di sini, hari ini.
Loke berkata, inisiatif itu adalah sebagai tambahan kepada tambang tetap oleh AirAsia yang diumumkan minggu lalu dan juga tambahan 20 penerbangan oleh Malaysia Airlines dari Semenanjung Malaysia ke Sabah dan Sarawak sempena musim perayaan ini.
Dalam pada itu, Loke memberitahu, KTMB juga akan menambah empat perkhidmatan ETS perjalanan dari laluan KL Sentral – Ipoh – KL Sentral pada 7 hingga 13 Februari ini selain dua ETS tambahan bagi laluan KL Sentral – Padang Besar – KL Sentral pada 7 Februari sehingga 10 Mac ini.
“Dua daripada empat perkhidmatan tambahan KL Sentral – Ipoh – KL Sentral adalah tren ekspres yang hanya akan mengambil masa dua jam sehala berbanding masa perjalanan biasa iaitu 2 jam 40 minit.
“Tren ekspres ini hanya akan berhenti di tiga stesen sahaja, iaitu KL Sentral, Kuala Lumpur dan Ipoh. Keseluruhan tiket tambahan yang ditawarkan sepanjang Tahun Baru Cina dan Cuti Sekolah adalah sebanyak 29,526.
“Bagi 32 perkhidmatan ETS sedia ada, jumlah tiket yang ditawarkan adalah sebanyak 10,180 sehari,” jelas.
Katanya lagi, tiket-tiket tren tambahan tersebut akan mula dijual kepada orang ramai pada Isnin ini bermula pukul 12 tengah hari.
Sementara itu, beliau berkata, permohonan bagi LPS akan mula dibuka pada 15 Januari hingga 2 Februari ini bagi permohonan bas tambahan sempena musim perayaan Tahun Baru Cina.
“Tempoh sah laku LPS ini adalah pada 7 Februari sehingga 18 Februari 2024. Langkah ini pada tahun lepas berjaya menambah sejumlah 296 bas dan dijangka bilangan ini akan lebih tinggi bagi tahun ini,” ujarnya.
Katanya, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) juga telah mengeluarkan surat peringatan kepada semua pengendali terminal bas untuk menambah kakitangan dan kaunter tiket bagi mengurus penambahan penumpang sempena musim perayaan nanti. – MalaysiaGazette