Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Permohonan pembatalan perwataan kolam takungan banjir Kampung Boyan (Sungai Bunus) di Titiwangsa bukan untuk pembangunan komersil atau hartanah.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, permohonan dibuat bagi menyelaraskan tugas Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi kawasan kolam takungan banjir dan DBKL bertanggungjawab mengurus dan menyelenggara kawasan lapang.

Jelasnya, pewartaan semula tapak-tapak berkenaan bagi maksud kolam takungan banjir dan kawasan lapang akan dilaksanakan selepas kelulusan muktamad diperolehi daripada pihak Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan.

Katanya, permohonan pembatalan dibuat dibuat untuk mengasingkan tapak yang berfungsi sebagai kolam takungan banjir dan tapak di kawasan pinggir kolam agar dapat dimanfaatkan sebagai kawasan lapang.

Selain itu tambahnya, kawasan pinggir kolam tersebut telah dibangunkan oleh pihak DBKL sebagai tapak kebun kejiranan bandar di bawah program Local Agenda 21 Kuala Lumpur.

Tambahnya, ia dilaksanakan bersama rakan-rakan strategik yang merupakan badan-badan bukan kerajaan serta persatuan-persatuan penduduk.

“Untuk makluman, kerja-kerja pengukuran sempadan telah dibuat oleh jurukur tanah berlesen berdasarkan sempadan gigi air dan tambahan 1 meter sebagai kawasan anggaran paras air tertinggi bagi memastikan kapasiti dan fungsi kolam takungan banjir tidak akan terjejas,” kata DBKL menerusi kenyataan. -MalaysiaGazette