Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan dengan kecenderungan menaik minggu depan susulan jangkaan pengeluaran yang lebih rendah disebabkan faktor bermusim, kata peniaga minyak sawit David Ng.

Beliau berkata, kekuatan berterusan dalam pasaran luar untuk minyak kacang soya dan minyak mentah dijangka meningkatkan sentimen pasaran dalam tempoh terdekat.

“Kami menjangkakan niaga hadapan MSM akan didagangkan dengan kecenderungan menaik dengan menguji paras rintangan pada RM3,950. Paras sokongan diunjurkan paada RM3,700,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, peniaga minyak sawit kanan Interband Group of Companies Jim Teh berkata MSM berkemungkinan diniagakan antara RM3,450 dan RM3,550 setiap tan metrik minggu depan.

Beliau berkata China mungkin meneruskan pembelian MSM menjelang Tahun Baharu Cina bulan depan.

Minggu ini, niaga hadapan MSM diniagakan lebih tinggi dalam persekitaran sentimen positif terhadap jangkaan pengeluaran yang lebih rendah untuk beberapa minggu akan datang, ditambah dengan harga minyak mentah yang lebih kukuh.

Pada asas mingguan, kontrak Januari 2024 meningkat RM90 kepada RM3,780 satu tan, Februari 2024 naik RM156 kepada RM3,831 satu tan, Mac 2024 susut RM174 kepada RM3,856 satu tan, April 2024 melonjak RM172 kepada RM3,843 satu tan, Mei 2024 menambah RM150 kepada RM3,799 satu tan, dan Jun 2024 naik RM123 kepada RM3,738 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan naik kepada 385,530 lot daripada 233,557 lot pada minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka mengecil kepada 202,342 kontrak daripada 212,004 kontrak sebelumnya.

Harga MSM fizikal bagi Januari Selatan kekal melonjak kepada RM150 kepada RM3,850 satu tan pada Jumaat daripada RM3,700 seminggu sebelumnya. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast