Seorang penunggang motosikal maut dilanggar lari sebuah kereta di Kilometer (KM) 4.4 Jalan Lapangan Terbang Subang menghala ke Lapangan Terbang Subang dekat sini awal pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Seorang penunggang motosikal maut dilanggar lari sebuah kereta di Kilometer (KM) 4.4 Jalan Lapangan Terbang Subang menghala ke Lapangan Terbang Subang dekat sini awal pagi tadi.

Dalam nahas sekitar 5.46 pagi itu, mangsa lelaki berusia 37 tahun itu dipercayai bekerja sebagai pegawai perhubungan pelanggan di lapangan terbang berkenaan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu sekitar 6.05 pagi.

“Hasil siasatan mendapati kejadian yang berlaku ketika mangsa menunggang motosikal jenis Honda EX5 sedang dalam perjalanan ke tempat kerja di Lapangan Terbang Subang.

“Kemudian mangsa telah dilanggar dari belakang oleh sebuah kereta tidak pasti nombor pendaftarannya dan melarikan diri sejurus kejadian itu berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohamad Fakhrudin, mayat mangsa telah dibawa ke forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk dibedah siasat.

Kes terbabit disiasat dibawah Seksyen 44(1) (a) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Susulan itu, beliau meminta kerjasama orang ramai atau saksi serta sesiapa yang mengenali mangsa tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi terus dengan pegawai penyiasat trafik, Inspektor Abdul Ghafur Baharuddin di talian 017-7478139 bagi membantu siasatan.

“Semua pengguna jalan raya diingatkan agar sentiasa mematuhi undang- undang jalan raya bagi mengelak sebarang kejadian kemalangan.

“Polis juga tidak akan berkompromi dengan mana- mana pemandu yang memandu secara merbahaya dan tindakan tegas akan diambil kepada mereka yang melanggar undang-undang,” ujarnya. – MalaysiaGazette