KUALA LUMPUR – Dua lelaki ditahan selepas disyaki memukul seorang warga emas yang didakwa menyebabkan kemalangan melibatkan tiga kenderaan di persimpangan lampu isyarat di Taman Pelangi Semenyih 2, Kajang, kelmarin.

Kedua-dua mereka yang berusia 26 dan 43 tahun itu ditahan di sekitar Kajang jam 3.30 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata, tangkapan dibuat selepas menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 63 tahun yang terbabit dalam kemalangan tersebut.

Menurutnya, kedua-dua suspek mengaku terbabit dalam kes itu kerana tidak puas hati dengan tindakan mangsa yang melanggar lampu isyarat merah sehingga menyebabkan kemalangan.

“Kedua-duanya telah direman sehingga Isnin ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 12.35 tengah hari itu kereta yang dipandu lelaki warga emas tersebut melanggar sebuah van yang membawa beberapa murid sekolah dipandu seorang wanita.

Sejurus kemudian, beberapa orang tidak dikenali menghampirinya termasuk dua suspek yang memukulnya di bahagian badan sehingga menyebabkan kecederaan di perut, dahi dan badan.

Kejadian itu tular di media sosial dan polis mengesahkan kemalangan tersebut.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini boleh menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau Pegawai Penyiasat kes Inspektor Muhammad Faizal Azizi di talian 011-16120032 bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette