Mustapha Sakmud membuka paip air yang ditempatkan di kampus UMS selepas menghadiri sesi taklimat oleh Jabatan Pembangunan dan Penyelenggaraan UMS mengenai isu bekalan air.Foto FB KPT

KOTA KINABALU – Enam telaga tiub dibina bagi mengatasi masalah bekalan air di Universiti Malaysia Sabah (UMS) menggunakan peruntukan RM3 juta yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mei tahun lepas.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud berkata, projek pembinaan empat telaga tiub itu kini sedang dilaksanakan dua kontraktor yang dipertanggungjawabkan dan projek itu kini dalam fasa penggerudian.

“Sebelum ini ahli geologi UMS telah membuat kajian dan mengesahkan empat tapak berkenaan benar-benar mempunyai air dan sesuai untuk pembinaan telaga tiub. Pihak geologi kini sedang mencari tapak yang sesuai untuk membina dua lagi telaga tiub itu,” katanya di UMS di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sesi taklimat oleh Jabatan Pembangunan dan Penyelenggaraan UMS mengenai isu bekalan air di universiti itu yang turut dihadiri Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr Kasim Md Mansor.

Selasa lepas (9 Jan), Anwar dilaporkan mahu pihak berkaitan mengemukakan laporan teliti berhubung masalah bekalan air yang masih berlarutan di UMS, sedangkan kerajaan telah meluluskan peruntukan RM3 juta tahun lepas bagi mengatasi masalah itu.

Rabu lepas (10 Jan), Timbalan Ketua Menteri Sabah III Datuk Shahelmey Yahya dilaporkan berkata isu bekalan air dihadapi UMS dijangka dapat diselesaikan melalui projek naik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Telibong 2 Fasa 2 yang kini sedang dalam proses perpaipan akhir dan dijadual siap akhir bulan ini.

Ditanya tempoh pelaksanaannya, Mustapha berkata, projek berkenaan akan disiapkan secepat mungkin dan untuk memastikan ia berjalan lancar, laporan perkembangannya akan dipantau setiap minggu.

“Isu air ini telah menjadi agenda utama kita dan ia telah mendapat perhatian Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan Tinggi oleh itu, kita perlu pandang serius perkara ini agar dapat disiapkan dalam tempoh yang ditentukan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menerangkan pembinaan enam telaga tiub berkenaan adalah langkah penyelesaian jangka pendek dan hanya mampu menyalurkan tambahan satu juta liter bekalan air sehari.

“Sedangkan 20,000 pengguna air di UMS memerlukan sekurang-kurangnya lima juta liter bekalan air sehari,”  katanya menambah langkah penyelesaian jangka panjang adalah di bawah tanggungjawab Jabatan Air Sabah (JAS).

“JAS perlu memastikan bekalan air di UMS mencukupi…inisiatif yang UMS lakukan hanya untuk jangka pendek dan kita tidak tahu ia boleh bertahan sampai bila,” katanya. – BERNAMA

Anwar mahu laporan penuh peruntukan RM3 juta masalah air UMS