Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan (MoF) di di Kementerian Kewangan, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 08 FEBRUARI 2023.

PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa satu laporan penuh diberikan kepadanya berhubung peruntukan sebanyak RM3 juta yang pernah diberikan kepada Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada tahun lalu bagi menyelesaikan masalah air.

Perdana Menteri itu berkata, kelulusan peruntukan itu dibuat pada Mei 2023.

“Saya tidak ingat bila saya pergi ke UMS tapi saya dengar resahan dan saya minta kepastian daripada Naib Canselor dan dia kata ya.

“Dan saya luluskan jadi saya tidak mengerti (belum selesai) tapi mungkin projek itu ada mengambil masa, jadi saya tidak mahu membuat keputusan menghukum.

“Saya nak minta laporan penuh apa jadi sejak Menteri Kewangan luluskan peruntukan segera RM3 juta bagi menyelesaikan masalah air di universiti berkenaan,” katanya dalam perhimpunan warga Kementerian Kewangan bersama Perdana Menteri di kementerian itu, pagi ini.

Turut hadir dalam acara sama adalah Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan timbalannya, Lim Hui Ying serta Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.

Anwar merujuk kepada pengumuman Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir yang memberi peruntukkan RM2 juta untuk menyelesaikan isu bekalan air yang sudah berlarutan sejak sekian lama di UMS.

Zambry berkata, peruntukan berkenaan untuk penyelasaian jangka pendek dan panjang agar masalah bekalan air di universiti itu boleh diatasi dalam kadar yang segera.

Ini berlaku selepas menteri itu disambut pelajar universiti itu dengan lagu dan lirik antara lain berbunyi “kami belum mandi”

Mereka juga memegang pelbagai plakad, termasuk yang bertulis “Air Ma(na)dani?”.

Dalam pada itu, Anwar turut mengarahkan Johan Mahmood untuk mendapatkan makluman daripada KPT berhubung peruntukan berkenaan.

“Mungkin KSP boleh tanya KSU kementerian berkenaan dan mungkin boleh bantu untuk bertanyakan apa yang berlaku sejak kelulusan RM3 juta serta tindakan yang diambil oleh KPT dan universiti untuk melaksanakannya.

“Pada sebahagian orang perkara kecil tapi kalau mahasiswa menghadapi masalah bekalan air itu patut meresahkan kita.

“Jadi hal yang demikian saya bimbang sebab itu di antara perancang dan pengurus dengan pelaksanaan di bawah itu akan kesenjangan yang nyata dan tanggungjawab kita  untuk memastikan bahawa pembangunan itu bererti kepada mereka,” katanya lagi.

Untuk rekod, peruntukan tambahan sebanyak RM2 juta itu akan digunakan untuk memasang pam air dan melibatkan pakar mencari sumber air alternatif bagi penyelesaian jangka panjang. – MalaysiaGazette