KUANTAN – Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) menerima sebanyak 3,800 permohonan untuk kemasukan bagi Tingkatan 1 ke Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) Pahang bagi sesi persekolahan 2024 ini.
Pengarah JAIP, Datuk Dr. Zulkifle Ali Al-Hafiz berkata, daripada jumlah itu seramai 2,800 pemohon telah menghantar dokumen lengkap bagi proses tapisan dan sesi temu uji ke pihak sekolah.
Menurutnya, sesi temu duga yang dilakukan semalam dihadiri 2,652 calon di 17 pusat temu duga di seluruh negeri ini.
”Pemohonan secara atas talian telah dibuka pada 15 November 2023 sehingga 15 Disember 2023.
”Daripada 2,800 calon, seramai 148 orang tidak hadir ke sesi temuduga yang diadakan pada Sabtu, 13 Januari 2024.
”JAIP akan menawarkan sebanyak 1,900 tempat di 17 buah SMAN mengikut bilangan kelas di setiap sekolah,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette semalam.
Katanya, permohonan masuk ke SMAN Pahang mendapat permintaan tinggi dan meningkat saban tahun menunjukkan pendidikan aliran agama di negeri ini berkembang.
Menurut Zulkifle, calon yang layak menghadiri temu duga dikhendaki menjawab dua bentuk ujian iaitu ujian bertulis dan ujian syafawi (lisan).
Ujian bertulis mengandungi enam subjek yang perlu dijawab oleh calon merangkumi matapelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Arab, Pendidikan Islam, Sains dan Matematik.
Manakala ujian lisan melibatkan ujian tahap penguasaan dua elemen iaitu bacaan Al-quran dan bacaan jawi.
Zulkifli berkata, keputusan permohonan kemasukan pelajar tingkatan satu ke SMAN Pahang akan dikeluarkan pada 24 Januari ini.
Pemohon boleh membuat semakan menerusi atas talian melalui portal di laman sesawang https://esma.pahang.gov.my. – MalaysiaGazette