ventilator
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan artikel berita  berhubung perpindahan 10 Pegawai Perubatan Pakar Patologi Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (HSAJB) susulan kes pemalsuan keputusan ujian urin adalah tidak tepat.

KKM dalam kenyataan memaklumkan HSAJB telah menjelaskan situasi sebenar melalui satu kenyataan media yang disiarkan pada Khamis (11 Jan) bahawa tiada perpindahan keluar pegawai perubatan pakar patologi seperti yang dilaporkan sebuah akhbar tempatan.

“Urusan pengujian sampel urin adalah di bawah skop tugas Juruteknologi Makmal Perubatan (JTMP) dan ia tidak melibatkan Pegawai Perubatan Pakar Patologi. Individu yang terlibat dalam kes pemalsuan keputusan ujian urin masih dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” menurut kenyataan itu.

Di samping itu, KKM berharap semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes berkenaan selain menjelaskan HSAJB sentiasa bekerjasama dengan SPRM sepanjang proses siasatan dijalankan.

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Datuk Dr Dzulkefly Ahmad dalam hantaran di X berharap syarikat akhbar berkenaan akan lebih teliti sebelum menerbitkan sebarang berita khususnya mengenai KKM.

Beliau berkata, ia supaya tidak mencetuskan rasa curiga umum terhadap perkhidmatan KKM. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast