Wanita hamil terperangkap di rumah akibat banjir di Muadzam Shah diselamatkan anggota bomba. Gambar : Bomba Pahang

KUALA LUMPUR – Mangsa banjir di Johor dan Pahang semakin berkurang apabila 891 orang berlindung di 12 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 3.43 petang ini.

Berdasarkan laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), 708 mangsa daripada 197 keluarga yang berlindung di lapan PPS di lima daerah di Johor.

Manakala, 183 mangsa daripada 61 keluarga ditempatkan di empat PPS di dua daerah di Pahang.

Di Johor, 349 orang berlindung di dua PPS di daerah Mersing; 150 orang di dua PPS di Kota Tinggi; 98 orang di satu PPS di Kluang; 88 orang di dua PPS di Segamat; dan 23 orang di sebuah PPS di Batu Pahat.

Di Pahang pula, sebanyak 143 orang ditempatkan di dua PPS di daerah Rompin, manakala 40 orang di dua PPS di Pekan.

Sementara itu NADMA berkata terdapat 46 jalan ditutup akibat bencana banjir, jambatan rosak dan tanah runtuh termasuk Jalan Ladang Siang di Kota Tinggi, Johor, Jalan Kuala Mentiga-Terapai di Pekan, Pahang dan Jalan Bukit Besi-Dungun di Dungun, Terengganu.

Dalam masa yang sama katanya lagi, 47 orang daripada 12 keluarga masih kekal berlindung di sebuah PPS di Tawau, Sabah; manakala 38 mangsa daripada 12 keluarga juga ditempatkan di sebuah PPS di Kuching, Sarawak ekoran insiden kebakaran.-MalaysiaGazette