Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – OCBC Global Markets Research menyemak semula unjurannya bagi harga minyak sawit mentah (MSM) 2024 kepada purata RM3,650 setan metrik meningkat daripada anggaran sebelumnya pada RM3,400.

Firma penyelidikan itu menerusi laporan Monthly Commodity Outlook (Tinjauan Bulanan Komoditi) berkata, semakan semula menaik harga MSM itu mencerminkan peningkatan risiko bekalan ekoran gangguan cuaca El Nino yang berterusan memasuki tahun 2024 dengan keamatan sederhana tetapi meningkat.

Kedua-dua Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Persatuan Minyak Sawit Indonesia (GAPKI) menjangkakan pengeluaran sebahagian besar tidak berubah tahun ini berikutan gangguan El Nino.

Selain itu, langkah Indonesia untuk meningkatkan penggunaan biofuel kemungkinan besar akan mengurangkan eksport minyak sawitnya.

GAPKI menjangkakan eksport minyak sawit Indonesia turun kira-kira empat peratus kepada 29 tan metrik tahun ini berbanding paras pada 2023 apabila permintaan domestik terhadap mandat campuran B35 (35 peratus biodiesel berasaskan sawit diadun dengan 65 peratus diesel) meningkat.

Sebaran harga yang lebih kecil antara minyak sawit dan minyak sayuran lain mungkin menggalakkan lagi pengadunan biofuel, katanya.

Menurut OCBC Research, keamatan dan tempoh berlakunya El Nino sukar untuk diramal pada bulan-bulan yang akan datang.

“Oleh itu, kami menjangkakan harga MSM diniagakan dalam jajaran rapat dalam tempoh terdekat ini,” katanya.

Selain itu, Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA) dalam laporan WASDE pada Disember mengunjurkan bekalan minyak kacang soya meningkat sebanyak 2.9 juta tan metrik pada 2023/2024 mencecah 61.9 juta tan metrik yang membawa kepada jangkaan harga lebih rendah sedikit.

Sementara itu, OCBC Research mengunjurkan harga penanda aras minyak Brent berada dalam purata US$80 setong berbanding US$82 setong pada 2023.

Unjuran lemah itu adalah berasaskan kepada pertumbuhan perlahan global dan prospek bekalan yang kukuh bagi memenuhi permintaan dunia pada 2024.

Meskipun pengurangan bekalan daripada Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya meningkat kepada 3.9 juta tong sehari (mbpd) bagi suku pertama 2024 (S1 2024) daripada 3.0 mbpd pada Disember 2023, bekalan minyak lebih tinggi dari negara seperti kerana Amerika Syarikat (AS), Brazil, dan Iran akan menyokong pasaran minyak global.

Menurut Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA) AS, negara-negara ini menghasilkan 29.6 mbpd pada Disember 2023 (28.7 peratus daripada jumlah permintaan dunia) berbanding 26.2 mbpd dalam tempoh yang sama tahun lepas (26.0 peratus daripada jumlah permintaan dunia). – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast