KUALA LUMPUR – Jalan Gua Musang yang sering mengalami kesesakan luar biasa terutama di musim perayaan akan menjalani kerja-kerja naik taraf termasuk pelan pelebaran di jalan raya sepanjang 50 kilometer (km) itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Jalur Hidayah Sdn Bhd, Azmizan Abd Kadir berkata, projek naik taraf jalan itu dijangka mengambil masa selama tiga tahun untuk disiapkan menerusi inisiatif pembiayaan swasta (PFI).
Selepas itu, jalan raya tersebut akan dikenali sebagai Lebuhraya Kuala Terengganu – Gua Musang.
Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut kos yang terlibat dalam kerja-kerja menaik taraf itu.
“Insya-Allah kalau tidak ada apa-apa masalah, kita jangka majlis pecah tanah akan berlangsung dalam tempoh dua bulan atau pada Mac ini.
“Kalau ditanya bila boleh kita mulakan projek ini, saya sasarkan secepat mungkin.
“Tetapi dalam tempoh tiga tahun ini, kita perlu melengkapkan beberapa urusan, dokumentasi termasuk memuktamadkan rekaan laluan dengan syarikat perunding,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Terdahulu, Azmizan mengumumkan pengambilalihan rasmi syarikat Jalur Hidayah oleh Pertubuhan Perkemas Malaysia (Perkemas) sebagai komitmen untuk merealisasikan penglibatannya dalam infrastruktur dan pembangunan negara.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pengambilalihan itu meerupakan langkah penting dalam usaha Perkemas untuk mendukung pertumbuhan ekonomi dan memberikan manfaat kepada masyarakat.
Ditanya mengenai PFI untuk projek tersebut, Azmizan berkata, pihak yang membiayai projek berkenaan adalah entiti luar.
“Untuk pengetahuan juga, apabila laluan ini siap dinaiktaraf dan dilebarkan kelak, ia tidak mempunyai tol walaupun ia diberi nama Lebuhraya Kuala Terengganu – Gua Musang.
“Ia sama seperti Lebuhraya Pan Borneo. Jalan luas dan dinaiktaraf. Yang pastinya ia percuma untuk semua pengguna jalan raya,” tambahnya. – MalaysiaGazette