WASHINGTON – Kedua-dua penanda aras minyak mentah terus meningkat pada hari Isnin, susulan ketegangan yang meningkat di Timur Tengah selepas Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdon melakukan serangan ke atas beberapa sasaran Houthi di Yaman minggu lalu.
Minyak mentah penanda aras antarabangsa Brent didagangkan pada AS$78.51 setong pada 11 pagi waktu tempatan (0800 GMT), peningkatan 0.28% daripada harga penutup AS$78.29 setong pada sesi dagangan sebelumnya pada hari Jumaat.
Penanda aras Amerika, West Texas Intermediate (WTI), didagangkan pada masa yang sama pada AS$72.94 setong, naik 0.21% daripada penutupan Jumaat pada AS$72.79 setong.
Ketegangan meningkat di Timur Tengah, wilayah yang menjadi tuan rumah majoriti sumber minyak global, selepas pesawat perang AS dan British melakukan serangan udara di bandar Sanaa, Hudaydah dan Taiz di Yaman sebagai tindak balas terhadap serangan berterusan Houthi di lorong perkapalan antarabangsa di Laut Merah.
Sambil menyatakan pandangannya mengenai serangan itu, Presiden AS, Joe Biden menyatakan bahawa mereka tidak akan teragak-agak untuk mengambil langkah selanjutnya, jika perlu, untuk melindungi rakyat AS dan aliran bebas perdagangan antarabangsa.
Tentera AS berkata, Houthi telah melakukan 27 serangan di Laut Merah sejak 19 November 2023.
Setiausaha Luar Britain David Cameron mempertahankan tindakan menyerang Yaman.
Sebagai tindak balas, Houthi yang disokong Iran di Yaman berkata, mereka akan meneruskan operasi ketenteraan mereka terhadap Israel dan menghalang kapal Israel daripada melalui Laut Merah, tempat perdagangan minyak terbesar di dunia berlaku.
Keputusan oleh banyak syarikat perkapalan untuk menghentikan operasi telah menyebabkan penggantungan bekalan tenaga melalui laluan Laut Merah dan peningkatan jangkaan krisis rantaian bekalan global, yang kedua-duanya menaikkan harga minyak. – Agensi