Steven (kanan) melihat proses pemulihan dijalani pencarum di Pusat Rehabilitasi Perkeso Tun Abdul Razak, Ayer Keroh, Melaka hari ini.

MELAKA – Kementerian Sumber Manusia (KSM) mahu Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) membuka tiga lagi pusat rehabilitasi menjelang 2029 dalam usaha memperjuang kebajikan pekerja di negara ini selain pemberian pampasan.

Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, usaha itu juga bertepatan dengan tiga indikasi utama kementerian merangkumi pengukuhan kebajikan, peningkatan kemahiran serta keberhasilan pekerja.

Menurutnya beliau, sejak 10 tahun lalu hanya terdapat sebuah pusat berkenaan iaitu Pusat Rehabilitasi Perkeso Tun Abdul Razak (PRPTAR) Ayer Keroh selain di Perak yang dalam pembinaan dan pusat rehabilitasi ketiga di Terengganu.

“Saya juga nak lihat dalam tempoh lima tahun lagi akan ada tiga pusat rehabilitasi baharu termasuk di Sabah dan Sarawak.

“Kita nak lihat supaya kita boleh kembangkan lagi perkhidmatan ini yang mana Perkeso bukan sahaja beri perlindungan dalam bentuk pampasan tetapi perlindungan yang lebih menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat PRPTAR di Ayer Keroh di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Ngwee Hee Sem dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Steven Sim Chee Keong

Mengulas lanjut, Steven berkata, sejak dibuka pada Oktober 2014, seramai 15,214 individu telah menerima rawatan di PRPTAR pertama di Malaysia dan di Asia Tenggara itu yang mengintegrasikan rehabilitasi perubatan dan latihan vokasional.

“Daripada jumlah tersebut, kira-kira 70 peratus berjaya kembali ke tempat kerja selepas menjalani rawatan pemulihan intensif di pusat rehabilitasi ini.

“Secara purata dua daripada tiga individu terbencana yang menjalani rawatan rehabilitasi secara holistik di sini berjaya kembali ke tempat kerja,” katanya.

Pada lawatan itu, beliau turut meninjau operasi Klinik Rehabilitasi NeuroRobotik dan Cybernics pertama di Asia Tenggara yang mula beroperasi Ogos tahun lalu.

Terapi neuromodulasi pertama seumpamanya di Malaysia itu adalah rawatan rangsangan kepada otak dan sistem saraf yang berupaya menghasilkan laluan saraf baharu atau memperbaikinya akibat kecederaan atau penyakit. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast