KUALA LUMPUR – Lelaki yang ditembak mati di hadapan Apartment Sri Acasia, Taman Puchong Prima petang semalam merupakan warga tempatan dan mempunyai rekod lampau iaitu tujuh jenayah, enam jenayah narkotik dan satu rekod dikehendaki.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, dalam kejadian berbalas tembakan tersebut, suspek telah ditembak mati.
“Polis Kontinjen Selangor mengesahkan menerima laporan pada 3.49 petang daripada seorang anggota polis yang bertugas di Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya.
“Kejadian tembakan itu berlaku di hadapan Apartment Sri Acasia, Taman Puchong Prima di antara polis dan suspek dalam kejadian itu suspek telah ditembak mati,” katanya dalam kenyataan.
Hussein berkata, siasatan lanjut masih dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Subang Jaya.
Sehubungan itu, Hussein memberitahu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian ini supaya hadir ke balai polis atau menghubungi IPD Subang Jaya di talian 03-78627222 bagi membantu siasatan.
Katanya lagi, polis turut mengesan satu rakaman video berkait kejadian itu yang telah tular di media sosial.
“Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menularkan video tersebut yang boleh mendatangkan kegusaran kepada masyarakat,” katanya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: