Lin Zheng.

KUALA LUMPUR – Ninja Van Malaysia mengumumkan pelantikan ketua pegawai operasinya, Lin Zheng sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu.

Ninja Van Malaysia berkata, Lin Zheng akan menggantikan Adzim Halim yang bakal melepaskan jawatannya dan melangkah ke peranan baharu beliau sebagai Ketua Pegawai Antarabangsa Kumpulan.

“Dengan kerjaya yang cemerlang dan penuh dengan kerjasama dan inovasi dalam syarikat, pelantikan ini menunjukkan komitmen Ninja Van Malaysia terhadap pembangunan bakat dalam organisasi dan penyampaian kecemerlangan operasi untuk kedua-dua penghantar serta pembeli.

“Lin Zheng memulakan perkhidmatan di Ninja Van sebagai Naib Presiden Operasi Serantau, mengawasi fungsi gudang di enam pasaran termasuk di Malaysia, Singapura, Indonesia, Vietnam, Filipina dan Thailand.

“Dengan peralihan kepada peranan COO di Malaysia pada tahun 2018, beliau diberi tanggungjawab untuk mengarahkan operasi harian dan protokol organisasi,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Katanya, seiring dengan usaha Ninja Van Malaysia untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai syarikat logistik berteknologi terkemuka, Lin Zheng, dalam peranan baharunya sebagai CEO, berkomitmen untuk memupuk budaya kerjasama dalam kalangan pekerja.

Katanya, beliau bermatlamat untuk memudahkan sinergi dan kerja berpasukan yang lebih baik, memanfaatkan kekuatan syarikat, termasuk rangkaian yang meluas di pelbagai kawasan dan perkhidmatan yang disesuaikan.

Sementara itu, Lin Zheng berkata, beliau berbesar hati untuk menggalas tugas baharu itu sebagai CEO Ninja Van Malaysia selaras dengan pertumbuhan dan inovasi yang sedang dituju syarikat di masa depan.

“Visi saya adalah untuk mendorong pengembangan unit perniagaan Ninja Van, menjadikannya rakan strategik bagi pelanggan kami.

“Dengan menyediakan penyelesaian menyeluruh melampaui peringkat terakhir, kami dapat melibatkan pelanggan di sepanjang rantaian nilai, menyampaikan bukan sahaja bungkusan, tetapi juga inovasi yang mentakrifkan semula landskap logistik,” ujarnya. – MalaysiaGazette