KUALA TERENGGANU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pengurus besar lembaga pertubuhan di Terengganu atas dakwaan menyalahgunakan jawatannya dengan meluluskan tuntutan bayaran bagi pembelian pukat dan racun serangga dengan beliau mempunyai kepentingan dalam urusan tersebut.
Sumber memaklumkan dalam satu operasi yang dilaksanakan oleh SPRM Terengganu mendapati lelaki tersebut disyaki menggunakan isterinya dengan mengemukakan invois syarikat yang palsu dan melakukan perbuatan tersebut sejak tahun 2018 lagi.
Suspek yang berusia lingkungan awal 50-an telah ditahan di pejabatnya di Terengganu hari ini dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu esok bagi mendapatkan permohonan reman.
Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009 dan siasatan menyeluruh akan dijalankan. – BERNAMA