Seorang bekas prebet tentera didenda RM2,400 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menyamar dan menceroboh rumah Panglima 3 Divisyen Kem Terendak, Sungai Udang di sini November tahun lalu.

MELAKA – Seorang prebet tentera didenda RM2,400 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menyamar dan menceroboh rumah Panglima 3 Divisyen Kem Terendak, Sungai Udang di sini November tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Fikri Shaiff, 35, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman selepas dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didapati melakukan pencerobohan jenayah dengan memasuki kawasan larangan rumah Panglima 3 Divisyen seperti termaktub di bawah perintah tetap Markas Garisan Terendak.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga enam bulan atau dengan denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan (KK) dan boleh dihukum di bawah kanun sama.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didapati telah memakai uniform lengkap angkatan tentera berpangkat staf sarjan dengan niat ia mungkin dipercayai tergolong dalam jawatan berpangkat itu.

Perbuatan itu menjadi kesalahan di bawah Seksyen 171 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga tiga bulan atau denda maksimum RM400 atau kedua-duanya sekali mengikut jika sabit kesalahan.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di Pos Seri Setia Kem Terendak, dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 6.09 pagi 14 November tahun lalu.

Mengikut fakta kes, tertuduh sebelum ini berpangkat staf sarjan namun telah dilucutkan kerana tindakan disiplin dan berpangkat prebet yang sedang dalam proses diberhentikan kerja semasa kejadian.

Kejadian diterima daripada anggota bertugas di Pos Seri Setia Kem Terendak Sungai Udang berkenaan pencerobohan yang dilakukan tertuduh di pekarangan Rumah Panglima 3 Divisyen dengan niat hendak menipu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Asnini Kamarudin memohon hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya bagaimanapun memohon hukuman ringan kerana dalam proses dokumentasi untuk penamatan tugas selain perlu menjaga ibu yang sudah tua.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh didenda RM2,000 bagi pertuduhan pertama atau satu bulan penjara jika gagal bayar.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh dikenakan denda RM400 atau jika tidak boleh dipenjara 10 hari. – MalaysiaGazette