P. Ramasamy.

KUALA LUMPUR – Selepas kontroversi dengan kenyataan mengatakan kaum India di negara ini kurang setia kepada Malaysia – Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menuduh bekas pemimpin DAP, P. Ramasamy sebagai rasis.

Bekas Perdana Menteri itu mendakwa apabila bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II itu meninggalkan DAP, dia menubuhkan parti orang India pula.

“Dan apabila orang keturunan India tidak terdapat dalam Kabinet kerajaan ia menegur kerajaan.

“Jikalau ia tidak utamakan orang keturunan India, apa salahnya jika tidak ada menteri keturunan India dalam Kabinet.

“Menteri bukan keturunan India juga menteri Malaysia. Sebagai orang Malaysia tidak ada sebab kenapa tidak adanya menteri keturunan India bukan masalah,” ujarnya dalam kenyataan.

Sebelum itu, Ramasamy menubuhkan parti baharu untuk masyarakat India iaitu Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai).

Dr Mahathir seterusnya mendakwa jika kerana tidak ada menteri keturunan India dalam Kabinet ternampak tidak adil, sebabnya tentulah kerana Ramasamy masih setia kepada kaum keturunan India.

“Ini bermakna Ramasamy rasis yang berjuang bukan sahaja untuk Malaysia tetapi juga untuk bangsa keturunan India,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast