Tan Sri Rafidah Aziz
Rafidah Aziz

KUALA LUMPUR – Malaysia telah merdeka daripada penjajahan selama 67 tahun dan rakyat Malaysia telah bersatu lebih 60 tahun.

Oleh itu, tidak ada keperluan untuk mempersoalkan satu sama lain tentang kesetiaan dan cinta kepada negara.

Tan Sri Rafidah Aziz berkata, perbuatan mempersoalkan isu ini menimbulkan keaiban dan tidak menghormati orang lain.

“Mungkin masanya kita bersama-sama dalam solidariti sebagai rakyat Malaysia yang bersatu…menghormati dan menerima semua kepelbagaian dalam kalangan kita.

“Sebab itu moto kita “Bersatu Bertambah Mutu”,” kata bekas Ketua Wanita UMNO itu menerusi hantaran di Facebook.

Baru-baru ini Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa masyarakat India Malaysia masih tidak setia sepenuhnya kepada negara ini kerana mereka masih ‘terikat’ dengan negara asal mereka.

Bekas perdana menteri itu berkata demikian dalam satu temu bual eksklusif secara dalam talian dengan saluran TV satelit di India.

Menurut Rafidah, negara ini mencatatkan pelbagai kejayaan oleh rakyatnya sama ada di dalam dan di luar negara.

“Mereka melakukan semua sebagai rakyat Malaysia. Dan sesetengahnya tiada sokongan kewangan kerajaan.

“Tetapi mereka kekal sebagai rakyat Malaysia,” ujarnya.

Menurut bekas menteri kanan itu juga, Wawasan 2020 mengambarkan bangsa Malaysia yang bersatu dan kepelbagaian kaum dan asal-usul keturunan.

“Sudah tahun 2024, marilah kita semua menghormati kepelbagaian kita… dan terimalah dengan sepenuh hati.

“Marilah kita bersama-sama bersatu dan membina Malaysia yang lebih kuat, berdaya saing dan dihormati dan tidak membenarkan unsur politik menyebabkan perpecahan dalam kalangan kita, warga Malaysia,” tambahnya. – MalaysiaGazette