M. Kulasegaran

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran membidas kenyataan Tun Dr Mahathir berhubung dakwaan masyarakat India di Malaysia masih tidak setia sepenuhnya kepada negara ini kerana mereka masih ‘terikat’ dengan negara asal mereka.

Kulasegaran yang pernah bekerja dalam Kabinet pimpinan Dr Mahathir menganggap kenyataan itu sengaja dibuat bertujuan untuk mendapatkan perhatian dan sokongan politik semata-mata.

“Apa yang Dr Mahathir mahu lakukan adalah mudah, pertama dia mahu memecahbelahkan negara dengan menggunakan bahasa penghasut yang menyasarkan kumpulan kaum atau etnik tertentu, memainkan ketegangan atau ketakutan yang ada dalam kalangan rakyat.

“Kemudian dia menjadikan satu kumpulan, kambing hitam. Dia menyalahkan satu kumpulan etnik untuk masalah masyarakat, cabaran ekonomi atau isu lain yang boleh digunakan untuk mewujudkan musuh bersama dan mengumpulkan sokongan terhadap mereka.

“Kemudian dia mencetuskan ketakutan. Dengan mempermainkan ketakutan dan prasangka orang, dia boleh mendapat sokongan politik. Dia kemudian mempromosikan stereotaip dan menyampaikan mesej berbeza-beza mengikut khalayak.

“Kemudian dia membuat usaha terakhirnya untuk kembali berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Naib Pengerusi DAP itu mengulas kenyataan Dr Mahathir pada Ahad lalu mendakwa masyarakat India Malaysia masih tidak setia sepenuhnya kepada negara ini kerana mereka masih ‘terikat’ dengan negara asal mereka.

Bercakap dalam temu bual eksklusif secara dalam talian dengan saluran TV satelit India, Thanthi TV, Dr Mahathir berkata, seseorang itu harus dikenali sebagai orang Melayu untuk berhak untuk menganggap Malaysia sebagai negara sendiri.

“Orang India Malaysia tidak bercakap bahasa Melayu sebagai bahasa asal mereka, mereka bercakap Tamil,” katanya ketika hos bertanya jika seseorang itu tidak boleh kekal setia kepada negara didiami sambil komited kepada asal usul mereka.

Mengulas lanjut, Kulasegaran berkata, Dr Mahathir tidak mempunyai kuasa untuk mepersoalkan kesetian masyarakat India malah ia juga tidak boleh dipertikaikan oleh sesiapa pun.

“Pengorbanan yang dilakukan oleh ratusan orang India bersama-sama rakyat Malaysia, semasa detik-detik genting dalam sejarah negara kita – termasuk mempertahankan kedaulatan kita dan memerangi pemberontakan komunis – menjadi bukti yang tidak dapat disangkal tentang dedikasi dan kesetiaan mereka kepada Malaysia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette