Foto Instagram pencari bakat Malaysia di luar negara, Frfuturetalents.

KUALA LUMPUR – Pemain Malaysia yang kini beraksi di Amerika Syarikat (AS), Wan Kuzain Wan Kamal telah memberi bayangan akan menjadi tonggak terbaru skuad bola sepak kebangsaan.

Ia berikutan komen pemain St Louis City ST2 di laman Instagram pencari bakat Malaysia di luar negara, Frfuturetalents.

“Tidak lama lagi,” tulis Wan Kuzain, 25, ringkas di ruangan komen.

Sebelum itu, Frfuturetalents telah berkongsi statistik Wan Kuzain selama pemain itu beraksi di AS.
Namun mengatakan karier pemain itu seperti tidak lengkap jika belum mewakili Malaysia.

“Tidak lengkap bagi Wan Kuzain sebagai pemain bola sepak sehinggalah dia membuat penampilan bersama pasukan kebangsaan Malaysia,” tulis Frfuturetalents.

Ketika ini, Kuzain merupakan tonggak utama buat pasukannya yang beraksi dalam saingan MLS Next Pro yang merupakan liga kasta ketiga dalam hirarki bola sepak AS.

Untuk musim 2022/2023, Kuzain telah diturunkan dalam 29 perlawanan dan berjaya meledak lima gol serta merekodkan lima bantuan gol sepanjang musim.

Sebagai rekod, Kuzain pernah dipanggil ke skuad bawah 23 tahun negara pada November 2019 bagi menghadapi Sukan Sea namun masalah dokumentasi menyekat hasratnya mewakili negara.

Selain Kuzain, adik beliau iaitu Wan Kuzri turut pernah dipanggil ke kem skuad bawah 19 tahun negara pada beberapa tahun lepas namun dia tidak dapat menyertai skuad negara disebabkan isu peribadi. – MalaysiaGazette